Monday, February 15, 2010

Baju putihku untuk malam pertama

Sediakan baju putih padaku
tika saat malam pertamaku menjelang nanti
kerna pakaian itu akan ku bekal cuma
diteman amal dan dosa tak terampun

Sediakan baju putih padaku
saat kamarku didatangi dua tetamu
menguak pintu kota abadi
kerna seliparku akan kutinggalkan
di anjung persinggahan

Sediakan baju putih padaku
kerna pakaian itu akan ku bekal cuma
mengadap Kekasihku nanti
pada malam pertama

Monday, December 7, 2009

Monolog

Prolog;
Selamat tiba ke medan perang
tempat kita disusukan
dimana darah kita mengalir bersama

Monolog;
Jika gendang damai kau kendong
ku sanggup bertikah satu gendang denganmu
Jika gedang perang kau palu
ku padam maksud berundur dari kamusku

Aku masih bernyawa hari ini
esok, lusa, tulat
tiada siapa yang tahu

Wednesday, December 2, 2009

Wednesday, November 11, 2009

cuba cerita

cuba cerita kawan
di mana janjimu
susah, di kawan
senang, muncung meluru

tinggi nya kau kini
lutut paras ubunku
cermin sendiri
lusuh layak untukku

di siniku berdiri
menghirup debu jalanan
ku hidangmu santapan
walau taraf kastamu tinggi

seribu tampung
selimut tubuhku
semut menghurung
hukum alam bersatu

Thursday, May 14, 2009

Lagu Puisi 'Hikayat Kumbang Besi' dalam versi akustik

Puisi ini aku gubah ketika Zionis tengah memuncak menyerang Gaza.. telah lama aku post kan puisi 'Hikayat Kumbang Besi' dalam blog ini.. maafkan aku kerna kesilapan dalam verse pertama.. sekiranya ada yang berminat untk mendengar versi penuh.. sila tinggalkan emel anda :)

Monday, May 11, 2009

mengambang bulan

malam nan panjang
masa beraja kepada insan gelisah
peluh melata tubuh
kepada jelata penjaga malam

ternyata masih dalam maqam amarah
tika hamba-hamba lain
khayal menyalakan lampu kubur
berat masih semarak di sukma raga ini

ke kanan
ke kiri
telah berakar lama
kawad tubuh ini menjadi mainan rutin

bawah gerhana fluorescent
melayan corak tampak jalin rekahan dinding
hiburan dinihari
tanpa ganguan televisyen dan derio

pandangan mata tidak puas nafsunya
menerjah jauh di luar jendela
laksana pungguk lagaknya
terpana melihat bebola putih
tanpa tiang, tanpa tali
tanpa sangsi terus bawa aku
tenggelam bersamanya

mengambang engkau bulan
untung malam tiada sepi kerna ada dikau

Friday, May 8, 2009

Belum

beratakkan di katil tua
terasa sudah rindu pada gitar cabukku
bukan main lama menemaniku
masih segar dentingannya
hanya layak kita dengar seolah dibeli kelmarin

Jim Morrison mula merasuk
dengan tarian fantasi permainan sihir
minda dan lidahnya
petikan genius stone gossard
sudah lama menakluki bilik gelap ini

Daffodill itu masterpiece ku
mengeram itu jigsaw puzzle ku untuk melawannya
belum tiba masanya lagi
belum....